SUARA WARGA PERAK

Wednesday, March 11, 2009

Parliament Question - Lebih Baik jika Menteri Letak Jawatan

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan:-

a) adakah kerajaan pernah mengeluarkan laporan mengenai kes-kes penindasan pekerja-pekerja asing yang dibayar gaji rendah serta ditipu;
dan;
b) jika ada, apakah langkah dalam menangani isu ini dan jika tiada,
kenapa.

Menteri Sumber Manusia [Datuk Dr. S. Subramaniam]: Terima kasih. Tuan Yang di- Pertua, walaupun Kementerian Sumber Manusia mempunyai segala maklumat tentang isu ini tetapi kita tidak mengeluarkan laporan. Kementerian sentiasa mengambil tindakan ke atas setiap aduan yang dibuat oleh pekerja asing. Bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja asing dilindungi, Jabatan Tenaga Kerja telah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, melalui beberapa jenis aktiviti.

Pada tahun yang lalu, sebanyak 15,628 tempat majikan telah diperiksa oleh jabatan, dan pemeriksaan yang dilakukan akan meliputi aspek kebajikan pekerja asing yang digajikan, dan juga aspek pematuhan kepada undang-undang yang berkaitan dengan penggajian mereka. Sekiranya sewaktu pemeriksaan didapati majikan tersebut telah melakukan pelanggaran undangundang, jabatan akan melaksanakan sama ada memberikan peluang bagi majikan untuk mematuhi perundangan itu atau melakukan pendakwaan, dan kompaun kepada majikan yang enggan mematuhi undang-undang, dan melakukan kesalahan yang berat. Tindakan kompaun telah dikenakan ke atas 71 majikan, yang didapati tidak melaporkan penggajian pekerja asing mereka kepada jabatan, iaitu pelanggaran di bawah seksyen 60(k) pada tahun yang lepas. Pekerja asing pun membuat aduan terus kepada jabatan, dan tindakan siasatan dalam tempoh tiga hari akan dibuat ke atas aduan yang difailkan kepada jabatan.

Pada tahun yang lalu, jabatan telah menerima 582 kes dan telah berjaya menyelesaikan 557 kes iaitu kadar 95%. Siasatan aduan yang dijalankan akan lebih menjurus kepada aduan yang difailkan, dan sekiranya siasatan mendapati aduan tersebut adalah berasas, maka tindakan pendakwaan dan kompaun, akan dikenakan ke atas majikan tersebut.
Bagi pekerja asing yang tidak mendapat pembayaran gaji, ataupun apa-apa bayaran kewangan sebagaimana di dalam kontrak mereka, tuntutan melalui Mahkamah Buruh akan dibuat, dan tuntutan yang difailkan pada tahun yang lalu, bagi tuntutan bayaran gaji yang tertunggak dan lain-lain berkenaan dengannya, adalah lebih kurang 438 kes. Dari jumlah ini, lebih daripada 86% telah diselesaikan. Pekerja asing juga diberi perlindungan daripada kemalangan sewaktu bekerja, melalui Skim Pampasan Pekerja, di bawah peruntukan Akta Pampasan Pekerja, dan pada tahun yang lalu, 6,539 kes pampasan telah difailkan dan daripadanya 6,398 kes telah diselesaikan.

Kes-kes ini melibatkan kemalangan yang membawa kecederaan sementara, kekal ataupun kes-kes yang menghadapi maut. Majikan yang menggaji pekerja asing, perlu melaporkan dalam tempoh masa 10 hari daripada tarikh kemalangan yang menimpa pekerja asing, dan sekiranya mereka gagal, majikan tersebut boleh didakwa atau di kompaun. So, itulah dengan ringkasnya, pendekatan yang diambil oleh kementerian, di dalam menjaga kebajikan pekerja asing, di dalam negara kita. terima kasih.
Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Dari jawapan Yang Berhormat Menteri menunjukkan satu gambaran di mana, situasi kronik di negara ini mengenai pekerja-pekerja asing, telah dan dapat diatasi.
Akan tetapi di dalam realitinya, itu bukanlah benar-benar yang betul kerana Yang Berhormat Menteri sendiri, lebih kurang tiga bulan dulu telah pergi dengan kawan saya Exco dari Perak, A. Sivanesan ke satu kilang di Menglembu, di mana beratus-ratus orang bekerja di sana, yang tidak dibayar gaji, ada di antara mereka yang tidak ada permit, tidak ada hak untuk bekerja di sana di mana mereka tidak dibayar gaji.

Itu adalah satu di antara kes-kes yang mungkin di mana Yang Berhormat Menteri turun. Soalan saya mengenai perkara ini adalah, macam mana kita sebenarnya dapat mengatasinya, walaupun tidak ada laporan dari pekerja-pekerja di sana. Bermaksud adakah kita, kementerian dapat mengesan sebelum satu laporan dibuat, supaya at source, perkara itu dapat diatasi.

Berkaitan dengan ini Tuan Yang di-Pertua, semalam Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri, telah mengatakan sebanyak RM700 juta akan diagihkan untuk mengatasi dan memberi priority kepada teras pertama, iaitu mengatasi unemployment dan juga create new empolyment.
Adakah kementerian ini, sesungguhnya boleh mengimplementasikan perkara ini, walhal unemployment rate dikatakan akan dinaikkan, walaupun kerajaan mengatakan daripada 3.8% kepada 4.5%, tetapi itu adalah angka yang tidak benar, kerana yang betul adalah dikatakan lebih
kurang 10%, kerana keadaan yang sama berlaku di Amerika dan UK. Jadi soalan saya ialah, apakah tindakan yang telah disesuaikan sekarang supaya perkara-perkara di mana pekerjapekerja kita diberi keutamaan dari pekerja-pekerja asing supaya jangan kita seperti baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, ini dah berantai Yang Berhormat, bukan lagi...

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh barat]: ...Berkaitan 70 ribu Bangladeshi. Bila keluar dari surat khabar, baru Menteri lompat, kalau tidak ada, dia akan duduk sahaja. Jadi itu yang menjadi perkara. Kita tahu ada beratus-beratus ribu orang dari Nepal dan sebagainya, akan datang. Adakah tindakan yang serius akan diambil supaya dapat mengelak perkara macam ini.

Datuk Dr. S. Subramaniam: Terima kasih Yang Berhormat. Sebenarnya di peringkat kerajaan, kita sentiasa sedar dan terus bekerja untuk memastikan bahawa hasrat-hasrat yang telah dicadangkan telah dikemukakan oleh Yang Berhormat dicapai. Akan tetapi, di dalam peringkat Ahli Yang Berhormat, bila ada isu sahaja dibangkitkan tetapi tidak bantu, untuk menyelesaikan masalah secara proaktif, [Dewan riuh] dan...
Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Saya rela jadi Menterilah, Menteri keluar, saya jadi Menteri.

Seorang Ahli: Duduklah, duduk, duduk. [Dewan riuh]

Datuk Dr. S. Subramaniam: Ahli Yang Berhormat telah membangkitkan beberapa isu...

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Letak jawatan.
Datuk Dr. S. Subramaniam: ...Dan satu daripada isu ialah isu berkenaan kebajikan pekerja asing. Di dalam jawapan saya tadi, saya telah memberitahu bahawa salah satu daripada kaedah yang telah digunakan, ialah untuk membuat pemeriksaan kepada premis pekerja. Pada tahun yang lalu, saya telah memberitahu bahawa kita telah membuat pemeriksaan kepada 15,628 premis pekerja, yang menggajikan pekerja asing. Ini adalah satu daripada tindakan positif yang telah diambil di mana semasa pegawai-pegawai Jabatan Tenaga Kerja yang ada di 80 jabatan Tenaga Kerja di seluruh negara pergi ke tempat-tempat majikan di kawasan mereka di mana mereka menggajikan pekerja asing dan mereka mengenal pasti bahawa ada isu di mana ada penindasan kepada pekerja asing, atau mereka telah diabaikan atau tidak diberikan gaji seperti yang telah ditetapkan melalui kontrak.

Maka pada keadaan ini, pegawai akan mengambil tindakan. Inilah cara pro aktif yang saya telah terangkan tadi, dan jawapan sebenarnya telah diberikan di dalam jawapan asalnya. Selain daripada itu ialah daripada kes yang diberi laporan. Kalau laporan aduan diberi kepada jabatan, memang pegawai akan memfailkan dan siasatan akan dimulakan dalam tiga hari sahaja selepas mendapat laporan untuk mendapatkan satu penyelesaian daripadanya.

Untuk jawab bahagian kedua Yang Berhormat, semalam semasa Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri telah mengemukakan Mini Bajet, beberapa langkah telah dicadangkan supaya mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Salah satu daripadanya yang akan mempunyai kesan yang paling tinggi ialah menambahkan levi dua kali ganda. Contohnya di dalam bidang perkhidmatan, sebelum ini RM1,800 levi setahun, sekarang gaji levi ini akan dinaikkan kepada RM3,600. Maksudnya pada tiap-tiap bulan tambahan kosnya RM300 dan tambah kepada itu sebelum ini levi ini dibayar oleh pekerja tetapi semalam kita telah membuat satu dasar bahawa bayaran dibuat oleh majikan.

Oleh itu ini akan menambahkan kos, bila pekerja cut cost, menggaji seorang pekerja asing, sudah naik seperti satu kadar sebegitu itu. Memang ini adalah satu perkara yang akan memberi kesan yang negatif supaya majikan akan berjaga-jaga, kalau mereka membawa pekerja asing, itu bermaksud mereka kena bayar lebih daripada RM300. Tambahan daripada itu Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita telah cadangkan, salah satu daripada langkah untuk mewujudkan peluang-peluang kerja kepada pekerja tempatan ialah untuk memindahkan peluang-peluang kerja yang sekarang di bawah pekerja asing kepada pekerja tempatan.

Salah satu daripada kaedah untuk memberi satu galakan kepada majikan supaya tiaptiap majikan yang memberikan peluang kerja kepada pekerja tempatan akan diberikan ganjaran RM300 sebulan untuk satu pekerja. Itu bermaksud, kalau seorang majikan memberi peluang kepada pekerja tempatan, dia akan dapat RM600 kerana baki daripada tak perlu bayar levi RM300 dan tambahan yang diberi oleh pihak kerajaan RM300. Ini akan menjadi satu galakan yang akan mewujudkan lebih peluang kerja untuk pekerja-pekerja tempatan. Terima kasih.

1 comment:

Anonymous said...

No komen. Kena rujuk kepada Menteri Sumber Manusia terlebih dahulu.

Artikel begini, boleh memesongkan pemahaman rakyat.

View Profile: Rantong