SUARA WARGA PERAK

Sunday, March 1, 2009

Parliament Q & A Session

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur] minta Menteri Kesihatan menyatakan alasan bagi kegagalan menangani ‘epidemic’ wabak denggi dan chikungunya sejak tahun lepas yang mencatat rekod tinggi jumlah kes dan kematian denggi dan sama ada wujudnya perang habishabisan terhadap denggi.

Menteri Kesihatan [Dato' Sri Liow Tiong Lai]: Tuan Yang di-Pertua, saya memohon menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan yang lain yang menyentuh isu berkaitan denggi dan chikungunya iaitu soalan daripada Yang Berhormat Jasin pada 23 Februari, Ahli Parlimen daripada Serdang pada 25 Februari, Ahli Parlimen daripada Maran pada 26 Februari, Ahli Parlimen daripada Bandar Kuching pada 3 Mac, Ahli Parlimen daripada Ipoh Barat pada 10 Mac, Ahli Parlimen daripada Hulu Rejang pada 11 Mac, Ahli Parlimen Sabak Bernam pada 11 Mac, Ahli Parlimen Puchong pada 12 Mac dan Ahli Parlimen Jempol pada 12 Mac.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Dato' Sri Liow Tiong Lai: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pada tahun 2008, sejumlah 49,355 kes denggi dengan 112 kematian telah dilaporkan dari seluruh negara dengan purata 931 kes seminggu dan jumlah tertinggi adalah pada minggu yang ke-49 di mana sejumlah 1,273 kes dilaporkan. Kadar kematian kes denggi pada tahun 2008 adalah 0.22%. Walaupun
kadar ini adalah rendah daripada sasaran yang ditetapkan oleh WHO iaitu kurang daripada 0.5%, namun Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus mengambil tindakan proaktif bagi
menurunkan lagi kadar kematian kes denggi.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, daripada 112 kematian yang berlaku pada tahun lalu, 53% adalah kematian yang boleh dielakkan. Antara faktor penyumbang situasi ini adalah pesakit lewat mendapat rawatan dan para pengamal perubatan pula tidak mempunyai daya mengesyaki kes denggi awal. Semua kes yang disyaki denggi dan mematuhi kriteria yang ditetapkan adalah perlu dilaporkan mengikut peraturan di bawah seksyen 10 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagi tahun 2008, 85% daripada kes yang didaftar adalah disahkan positif ujian serologi IgM Denggi. Langkah-langkah kawalan dan pencegahan akan diambil segera selepas menerima notifikasi tanpa perlu menunggu ujian pengesahan jangkitan.

Strategi ini diambil untuk memastikan langkah kawalan terutamanya fogging bagi membunuh nyamuk dewasa yang mengandungi virus denggi diambil dalam masa tempoh 24 jam selepas kes dinotifikasi. Pemantauan virus denggi daripada kes-kes denggi yang dilaporkan juga dibuat oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh bagi tahun 2008.

Didapati majoriti kes adalah disebabkan oleh stereotaip Denggi Den-1 dan Den-2 profile yang sama sejak 10 tahun yang lepas dan tiada perubahan jenis virus denggi. Kementerian Kesihatan amat mengambil berat tentang masalah demam denggi dan setiap minggu maklumat kes denggi dimaklumkan kepada orang awam melalui kenyataan akhbar dan maklumat punca penyakit jangkitan dan juga langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil oleh masyarakat juga dimaklumkan. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2006 National Health and Morbidity Survey 2006 mendapati tahap kesedaran penduduk Malaysia bagi penyakit denggi adalah sangat baik. Akan tetapi dari segi amalan masih lagi lemah. Dalam kajian tersebut, 89% penduduk Malaysia mengetahui demam denggi serta cara penyebaran dan kawalannya, manakala 79% dapat mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk aedes dalam rumah dan 88% di luar rumah.

Kebanyakan kes denggi yang kita dapati, rumahnya ada jentik-jentik lebih kurang 80%. Akan tetapi adalah mengecewakan hanya kira-kira 14% sahaja yang mengamalkan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di tempat tinggal mereka. Langkah pencegahan yang paling berkesan untuk denggi adalah melalui penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam memusnahkan tempat pembiakan aedes. Perkara ini sentiasa di saran oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berdasarkan pemerhatian mereka di seluruh dunia. Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan program COMBI iaitu Communication
for Behavioral Impact bagi menggalakkan penglibatan masyarakat secara berterusan dalam aktiviti pencegahan denggi dan memastikan persekitaran mereka masih bersih dan bebas dari aedes. Sehingga kini, terdapat sejumlah 585 locality melaksanakan program COMBI dengan 11,892 sukarelawan.

Program ini terbukti berkesan di mana 84% daripada locality yang melaksanakan Program Combi telah dapat mengurangkan kes denggi di locality mereka. Kementerian Kesihatan akan terus mempromosi program ini termasuk di kawasan PBT dan saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat dapat sama-sama mempromosikan program COMBI dan kami di Kementerian Kesihatan akan sedia membantu menjayakan pelaksanaannya.

Tuan Yang di-Pertua, pada minggu pertama tahun 2009, jumlah kes denggi yang dilaporkan berjumlah 1,633 kes dengan empat kematian iaitu jumlah tertinggi yang pernah dilaporkan sejak 10 tahun yang lepas. Walau bagaimanapun, jumlah kes mingguan yang dilaporkan telah menunjukkan trend penurunan hasil daripada kempen perang habis-habisan dengan penyertaan aktif anggota masyarakat dan pihak PBT. Jumlah kes denggi yang dilaporkan pada minggu ke enam tahun 2009 adalah 1,134 kes dan tiada kematian. Penurunan kes sebanyak 31% dalam tempoh enam minggu.

Jumlah hotspot juga telah menurun daripada 54 locality pada 31 Januari 2009 kepada 37 locality pada 15 Februari 2009. Pengurangan sebanyak 31% dalam tempoh dua minggu. Ini jelas menunjukkan bahawa penularan denggi sebenarnya boleh dibendung dan dicegah jika semua pihak mengambil bahagian terutamanya anggota masyarakat itu sendiri. Menurut maklumat, bagi tempoh enam minggu tahun 2009, sejumlah 227 gotong-royong telah dijalankan di seluruh negara, jumlah yang tertinggi yang pernah dicatatkan dalam tempoh enam minggu.

Dalam tempoh yang sama juga, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM1.7 juta melalui kempen media untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahayanya demam denggi.
Cara pencegahan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi. Ini termasuklah kempen meluangkan masa selama 10 minit setiap minggu bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan di luar rumah masing-masing. Kempen perang habis-habisan yang dilancarkan oleh KKM ternyata berkesan
dalam menurunkan kes demam denggi. Jika kesedaran orang awam ini terus berkekalan dan menjadi budaya rakyat Malaysia, tidak mustahil bagi kita untuk mengurangkan sebanyak 10,000 kes demam denggi bagi tahun ini seperti yang telah disasarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kempen perangi habis-habisan ini juga merangkumi aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit Chikungunya. Kedua-dua penyakit ini walaupun disebabkan oleh virus yang berlainan, tetapi dibawa oleh nyamuk yang sama iaitu nyamuk aedes.

Cara pencegahan dan pengawalan penyakit ini adalah sama, kesan yang sama juga dapat dilihat bagi penyakit Chikungunya di mana terdapat penurunan kes yang signifikan iaitu pada minggu pertama 2009, sejumlah 159 kes Chikungunya dilaporkan di seluruh negara. Pada minggu keenam tahun 2009, jumlah kes dilaporkan telah menurun kepada 86 kes, penurunan sebanyak 46%. Sekian.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya puji Yang Berhormat Menteri khasnya dalam sebulan ini begitu rajin berbanding dengan tahun lalu dan dalam kempen habis-habisan terhadap wabak denggi. Ini menunjukkan kuasa satu soalan ini, oleh sebab notis diberi dalam satu bulan, dia sangat rajin. [Ketawa] The power of Parliamentary question sebab itu dia boleh kerja kuat. Akan tetapi kenapa dalam tahun lalu yang mencatatkan bilangan kematian yang tertinggi dalam sejarah Malaysia, 112 orang yang meninggal dunia, 53% kematian patut dielakkan, avoidable preventable death, tidak patut meninggal dunia.

Tidak ada kesedaran, perlu satu kempen habis-habisan terhadap denggi. Kita harap bahawa kempen sekarang ini bukan satu PR kempen sahaja untuk jawab soalan hari ini tetapi daripada jawapan Yang Berhormat Menteri, nampaknya tidak ada kesedaran mengenai ada satu krisis besar iaitu epidemik. Oleh sebab kita tidak diberi angka sampai sekarang berapa orang yang sudah meninggal dunia dalam enam minggu yang pertama tahun ini. Kalau tidak silap mungkin dekat 18, 20 orang sudah meninggal dunia. Kalau itulah kadar kematian, mungkin tahun ini akan lebih tinggi dibandingkan dengan angka tahun ini, mungkin lebih daripada 150 sehingga 180.

Apa usaha sebenarnya dan fokus yang akan dijalankan oleh Yang Berhormat Menteri supaya kita boleh berjaya untuk mengurangkan avoidable death ini dan bukan untuk membuat persiapan untuk menjawab di dalam Dewan yang mulia ini sahaja.

Dato' Sri Liow Tiong Lai: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tidak benar apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat daripada Ipoh Timur bahawa kita tidak menjalankan apa-apa langkah tahun lepas. Sejak tahun lepas lagi kita telah menjalankan banyak kempen dan juga banyak lawatan yang saya buat termasuk saya buat lawatan ke Telok Intan dan banyak lagi kawasan. Saya rasa Yang Berhormat Ipoh Timur tidak baca berita-berita saya. Termasuk angka kematian, kata Yang Berhormat saya tidak umumkan.

Sebenarnya tiap-tiap minggu selepas kita isytihar perang habis-habisan demam denggi ini, kita telah membuat sidang akhbar tiap-tiap minggu untuk melaporkan angka berapa kes minggu ini dan berapa kematian. Kalau Yang Berhormat tidak baca lagi, kalau tidak dapat surat khabar, boleh baca laman web Kementerian Kesihatan Malaysia, ada juga di website Kementerian Kesihatan Malaysia, semua angka-angka yang ada ini.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, angka bagi tahun ini, sehingga hari ini adalah lebih kurang 7,900 kes demam denggi dan dengan kematian 18 yang meninggal. Banyak langkah telah diambil apabila kita isytiharkan perang habis-habisan. Kalau dulu apabila ada wabak, kita wujudkan bilik operasi tetapi sekarang kerana bilangan yang meningkat, maka kita telah isytiharkan perang habis-habisan, kita wujudkan bilik operasi di semua daerah. Bilik operasi ini akan berjalan 24 jam dan kita akan pastikan bahawa tindakan segera apabila dibuat, diberitahu notifikasi, tindakan segera dapat dibuat untuk membasmi, menghapuskan nyamuk aedes. Yang penting adalah kesedaran orang ramai bahawa aedes mosquito adalah pembawa virus denggi yang berbahaya dan kita perlu hapuskan nyamuk aedes ini habis-habisan. Saya rasa kita boleh buat, memang apabila kita bekerjasama, saya juga nak ajak Ahli Yang Berhormat Ipoh Timur bersama-sama dengan kita turun ke padang, kita buat gotong-royong secara besarbesaran untuk kita hapuskan. Jangan kita main politik di sini, kita untuk kesihatan orang ramai. Terima kasih.

Dato Dr. James Dawos Mamit [Mambong]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya teliti jawapan Yang Berhormat Menteri tadi tentang kawalan nyamuk aedes termasuk pemeriksaan dan operasi di mana-mana tempat. Akan tetapi saya juga memang membaca dalam surat khabar kempen-kempen untuk membasmi denggi ini. Satu yang saya rasa tidak dibuat oleh kementerian iaitu pemeriksaan di saluran air atap rumah. Adakah ini dibuat?
Pertama. Yang kedua, saya juga ingin tahu sama ada semburan ini membuat nyamuk aedes tahan lagi racun serangga yang digunakan dan juga jenis nyamuk aedes ini, berapakah jarak jauh terbang nyamuk aedes ini? Berapakah ketinggian terbang nyamuk ini? Ini kerana ia menyebabkan kita susah hendak membasmi nyamuk aedes kalau kita tidak tahu ekologi nyamuk
ini. Mohon jawapan.

Dato' Sri Liow Tiong Lai: Terima kasih Yang Berhormat Mambong. Dia memang pakar dalam persekitaran. So soalan yang dikemukakan tadi bahawa kita perlu membuat pemeriksaan saluran air atap ya, memang itu dari segi penguatkuasaan kita memang perlu melihat bahawa di persekitaran rumah kita bukan sahaja di atap ataupun di kolah-kolah air dan juga pasu-pasu bunga. Semua kawasan itu adalah perlu kita periksa tetapi memang kita ada periksa tetapi yang terlalu tinggi itu tak mampulah pegawai ataupun kita kena mengadakan special enforcement team untuk yang terlalu tinggi. Akan tetapi adalah diingatkan bahawa kes denggi ini kebanyakannya kita dapati di dalam rumah. Jentik-jentik yang didapati di dalam rumah, lebih kurang 80% kes denggi yang berlaku dalam negara kita, kita dapati jentik-jentik ada di dalam rumah mereka. Oleh itu kita hendak mengingatkan orang ramai tapak pembiakan ini perlu dihapuskan.

Berhubung dengan ekologi, keadaan hidup nyamuk aedes ini, dia boleh hidup lebih kurang sebulan sahaja dan dia akan hisap darah tiap-tiap tiga hari. Dia boleh terbang berapa tinggi terpulanglah, kalau dia naik kapal terbang tinggi juga dia pergi ya. Kita tidak tahu dia boleh pergi mana. [Ketawa] Itu tidak tahulah, tetapi memang dari segi jaraknya it’s a radius, a few kilometer, it is only a very small radius. Kita boleh buat kawalan sebenarnya dari segi nyamuk aedes ini. Kita boleh perang habis-habisan sekiranya kita memahami ekologi sebenarnya kehidupan nyamuk aedes. Sekian, terima kasih.

No comments: